Jumaat, 30 April 2010

Minggu ke-17 sesi persekolahan 2010

Minggu ini aku ada dua cerita yang hendak dikongsikan bersama. pertamanya impian aku untuk mendapatkan buku 'Gurukah Aku atau...?' telah menjadi kenyataan. jutaan terima kasih kepada cikgu ghafar yang merupakan GPK Ko-Ko sekolah aku tolong belikan buku tersebut. setelah semua kedai buku dalam kluang aku jejaki namun tidak juga jumpa, cikgu ghafar menawarkan khidmat tolong carikannya diluar kluang. aku harap setelah khatam buku tersebut dan buku 'Hebatnya cara Rasulullah mendidik' aku akan berjaya mengaplikasikannya dalam setiap gerak kerja, doakan aku berjaya ya. (ada masa nanti insya allah aku cuba mengulas tentang buku tersebut).

satu lagi perkongsian ialah mengenai ucapan aku semasa perhimpunan sekolah tempoh hari. macam biasa la ucapan dimulakan dengan selawat keatas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. aku mengajak diri sendiri, semua pelajar dan guru sama-sama bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Allah untuk bernafas pada hari ini. malah kita perlu bersyukur atas segala nikmat yang allah kurniakan sama ada kita sedar atau pun tidak seperti nikmat kesihatan jasmani dan rohani yang membolehkan kita datang lagi ke sekolah untuk menuntut ilmu, nikmat keamanan, keindahan dan macam-macam lagi nikmat yang kita dapat setiap hari.

bagi menguatkan hujah, aku membacakan firman Allah yang bermaksud "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih".

setiap kali aku memberi ucapan atau tazkirah, ayat al-quran yang tidak pernah aku tinggal ialah firman allah yang bermaksud “ingat-mengingatilah antara kamu, sesungguhnya ingat-mengingati itu memberi manfaat@faedah kepada orang yang beriman". aku suka mengingatkan guru-guru dan pelajar bahawa tujuan aku berucap bukan kerana hendak mengajar dan jauh sekali untuk menunjuk pandai, tetapi aku 'terpaksa' kerana ayat yang aku bacakan tadi Allah menggalakkan kita supaya saling ingat-mengingati (tegur-menegur) antara satu sama lain.

sahabat sekalian, begitulah juga dengan tulisan aku dalam blog ini, jika ada yang terkurang atau salah dalam penulisan hatta dalam percakapan dan tingkah laku, aku harap anda semua beritahu dan tegur aku ok. begitulah indahnya Islam yang menjadikan kita saling memerlukan antara satu sama lain.

aku teruskan ucapan dengan peringatan tegas kepada pelajar, sama ada kita sedar atau tidak kita telah pun berada di bulan yang keempat bagi sesi persekolahan 2010. Sama ada kita sedar atau tidak SPM dan PMR semakin dekat, sama ada sedar atu tidak telah banyak mutiara ilmu yang telah disampaikan oleh guru-guru kepada pelajar2.

aku bagi sedikit persoalan untuk direnung dan dijawab, apakah ilmu-ilmu yang disampaikan oleh guru-guru berjaya pelajar2 kuasai atau kita fahami seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian? Adakah akhlak atau tingkah laku kita semakin hari semakin baik?

dengan intonasi suara yang sedikit meninggi, pelajar2 terdiam seketika, mungkin masing2 tengah menilai diri sendiri dengan persoalan tadi ataupun mereka tidak faham dengan ucapan aku.

aku meneruskan ucapan dengan mengatakan jawapan bagi persoalan tadi ada pada diri pelajar masing2. jika jawapan pelajar2 ada perubahan ke arah yang lebih baik, alhamdulillah. setiap pelajar yang mahu berjaya mesti ada perubahan setiap kali menerima ilmu baru, jika mahu berjaya hari ini pelajar mesti lebih baik dari semalam, dan hari esok pelajar perlu lebih baik dari hari ini.

Jika kita rasa tiada sebarang perubahan ataupun semakin hari semakin banyak belajar tetapi makin teruk perangai, marilah kita sama-sama muhasabah diri, cari dimana silapnya diri aku ni. Jangan nak cari salah orang lain je. Insya Allah jika kita betul2 mahu berubah kearah yang lebih baik, allah akan tolong kita.

aku meneruskan ucapan hari tersebut dengan teka-teki Imam Ghazali, kebanyakan pelajar teruja untuk menjawab teka-teki tersebut, namun hanya terdapat segelintir pelajar yang berjaya jawab dengan betul.

PERTAMANYA beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :" Orang tua, guru, kawan dan sahabat". Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagi soalan ini ialah 'mati'.

aku memberikan contoh kepada diri pelajar sendiri yang boleh mati bila-bila masa sahaja walaupun ketika perhimpunan tersebut.

KEDUANYA beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :" negara China, bulan, matahari dan bintang". Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'masa lalu'.

aku mengingatkan mereka walau dengan apa cara sekali pun kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti. pelajar perlu belajar bersungguh-sungguh kerana masa sekarang tidak akan kembali lagi.

KETIGANYA beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: " Gunung, bumi, matahari". Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah 'nafsu'.

Maka kita mesti berhati-hati dengan nafsu kita seperti malas, ponteng sekolah, couple dsb. pelajar2 perlu mengawal nafsu dan jangan biarkan nafsu mengawal kita. jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahanam.

KEEMPAT beliau bertanya tentang apakah yang paling berat di dunia lalu muridnya menjawab :" Besi, gajah". Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'menanggung amanah'.

Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak. ada pelajar yang menconteng meja, menconteng tandas dan melakukan macam2 vandalisme, sedangkan itu adalah amanah untuk anda. pelajar yang melakukan perkara tersebut akan sentiasa menanggung dosa setiap masa. itu adalah harta rakyat, anda harus meminta maaf dengan seluruh rakyat. tegas aku.

KELIMA beliau menyoal tentang apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab :" Kapas, angin, debu dan awan". Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'meninggalkan sembahyang'

kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia. kita sibuk bermain bola ketika waktu asar, terasa sedap dibuai mimpi ketika waktu subuh dan sebagainya. ada yang anggap sembahyang akan merugikan produktiviti kerja. sedangkan mereka lupa bahawa sembahyang adalah tiang agama, dengan sembahyang jiwa kita akan menjadi tenang dan hidup akan lebih berjaya di dunia dan akhirat.

KEENAM beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab :' Pedang". Imam Ghazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'lidah manusia'

di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan. di mana2 saja ada adu domba, ada fitnah memfitnah dan mengumpat di sana sini, dan disebabkan lidah juga dunia boleh berperang. oleh itu marilah sama-sama kita menjaga lidah kita dari mengeluarkan kata2 yang sia2.

sekian dulu untuk kali ini, segala yang baik datang daripada Allah dan yang buruk dari kelemahan diri saya sendiri, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualikum warahmatullahi wabarakatuh.

ucapan aku sekitar 30 minit pada pagi tersebut habis kira-kira jam 8pagi. semoga perkongsian kali ini memberi manfaat untuk kita semua

Tiada ulasan:

Catat Ulasan